Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) akan dilaksanakan oleh sektor perbankan di dalam masa terdekat bagi membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah (B50).

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, Urus merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.

Ia turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM5,880 sebulan, ujarnya.

“Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam tempoh ini, tambah beliau, pelanggan dengan pinjaman/ pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat datipada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Menurut Perdana Menteri, program ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Tambah beliau, butiran mengenai program Urus akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakejpakej bantuan dan rangsangan Kerajaan sejak Mac 2020.

“Kerajaan berharap dengan pendekatan whole-of-nation dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette