IPOH – Seorang lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan terapung di Sungai Kinta, Pasir Puteh di sini pada 26 Mei lepas, selepas diculik.

Pertuduhan itu dilakukan selepas lima individu didakwa pada Jun lepas dan tiada pengakuan direkodkan daripada Harjit Singh Terlok Singh, 25, seorang tukang masak, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dengan Basharuddin Hammersla, 26, S. Jeyenthiran, 34, S. Simeon, 31, T. Selvamani, 40, dan V. Thiruganesh, 36, dan seorang yang masih bebas telah menyebabkan kematian A. Preshna, 40.

Harjit didakwa melakukan kesalahan itu di No 44B, Jalan Che Puteh di sini antara kira-kira 7.30 pagi hingga 5.30 petang pada 23 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam Shabnam Haseena Mohamad Hanif.

Noor Azreen Liyana kemudian menetapkan esok sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pertuduhan dijalankan bersama tertuduh yang lain.

Pada 11 Jun, lima individu berkenaan didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama dan pihak polis mengesan dua lagi lelaki yang masih bebas ketika itu bagi membantu siasatan kes iaitu Harjit Singh dan M. Muralitharan atau nama panggilannya Murali, 23, yang beralamat di Tanjung Rambutan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast