Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menggunakan kaedah Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) sebagai syarat permohonan kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Timbalan Menteri I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kaedah itu dimulakan mulai tahun 2020 sebaik pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadikan syarat kemasukan sebelum ini.

Menurut beliau, PKSK adalah kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke Sekolah Khusus.

“Pentaksiran ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Kecerdasan Insaniah, Kecerdasan Intelek dan artikulasi penulisan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Kata Hang Soon, semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Kementerian Pendidikan (KPM) dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) atau Sekolah Swasta layak memohon kemasukan ke SBP bermula 2020 bagi sesi persekolahan 2021.

“Syarat pemilihan murid ke SBP adalah melepasi syarat minimum PKSK dan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Penawaran kemasukan ke SBP pula adalah tertakluk kepada dasar pemilihan SBP iaitu 60 peratus murid dari keluarga B40,” katanya.

Justeru, kata beliau, pelaksanaan PKSK telah membuka peluang kepada semua murid yang layak dari semua jenis sekolah di Malaysia.

Kementerian Pendidikan, katanya, sentiasa memberi perhatian dan mendokong dasar-dasar pendidikan yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Beliau berkata, kementeriannya juga sentiasa melaksanakan tanggungjawab seperti dihasratkan dengan merangka dasar pengambilan lebih komprehensif tanpa sebarang pengabaian kepada mana-mana pihak mahupun golongan masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette