KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa tidak mengiktiraf tuntutan bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50).
Menurut kenyataan empat Ahli Majlis Presiden PH itu, tuntutan itu ada terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PH dan kerajaan baru-baru ini.
“Tanpa pengiktirafan peranan MoU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak kerajaan untuk berpegang kepada semangat MoU ini dan turut bercanggah dengan konsep Keluarga Malaysia yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat,” menurut mereka.
Tambah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, perkara itu terkandung dalam Perkara 1.7 perkara dalam MoU berkenaan.
Malah ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksana dalam semangat menunaikan Perkara- Perkara yang terkandung di dalam MoU.
“Penting dijelaskan bahawa pada awalnya pihak kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan PH untuk memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam dari kelompok
B50 ini.
“Untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, pimpinan utama Pakatan Harapan telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan malah juga dengan Ketuaketua Pegawai Eksekutif bank-bank komersil,” kata Majlis Presiden PH lagi.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) oleh sektor perbankan bagi membantu kumpulan 50 peratus terbawah atau B50 tanpa menyebut ia adalah tuntutan daripada PH.
URUS merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.
Selain itu, ia turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar (gross household income) kurang dari RM5,880 sebulan.
Antara kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah. – MalaysiaGazette