KUALA LUMPUR – Penyanyi Elyana memuat naik ucapan awal buat suaminya, Khairul Anuar Hussin sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-11 pada bulan depan.
Menerusi hantaran di Instagramnya, dia berkata, sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka itu dia diuji dengan sakit dan menderita kanser selama 10 tahun.
“Bulan depan anniversary kita yang ke 11 tahun. Saya sakit dah 10 tahun. Umur awak pulak nak masuk 46 tahun. Umur kita beza 12 tahun. Tapi bertahun-tahun, di hati saya awak tetap nombor satu,” tulis Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal.
Dalam hantaran sama, Elyana turut merakamkan ucapan terima kasih buat suaminya yang sudi menjadi teman hidupnya di dunia dan berharap dapat menemaninya di syurga.
“Terima kasih sudi menjadi teman saya di dunia. Semoga saya dapat teman awak di syurga,” tulisnya.
Pada Julai lalu, Elyana, 34, telah menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.
Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.
Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada tahun 2010.
Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette