Datuk Seri Hamzah Zainudin mengadakan lawatan ke Terengganu bertemu Abdul Hadi bersama-sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Rafiq Naizamohideen di Kuala Terengganu.-Gambar FB Hamzah.

KUALA LUMPUR – Desas desus mengenai pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin kuat kedengaran.

Merujuk kepada status Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Instagram, ura-ura untuk Perikatan Nasional (PN) bertanding sendiri menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jelas diperkatakan.

Hamzah dalam status itu juga berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan PRN Melaka.

“Cantik jawapan beliau bila ditanya sihat ke Tok Guru? Mana boleh tak sihat, kitakan nak berjuang, katanya. Alhamdulillah, begitu bersemangat Tok Guru. Beliau juga nampak sihat,” tulis Hamzah di Instragram miliknya hari ini.

Dalam status itu, Hamzah dilihat mengadakan lawatan ke Terengganu bertemu Abdul Hadi bersama-sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Rafiq Naizamohideen.

Pas turut diwakili naib presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyudin Hassan.

Suruhanjay Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka yang ke-15, bagi menentukan sama ada akan berlakunya PRN Melaka atau tidak pada Isnin ini.

Pada Rabu lalu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahu pun Pas pada PRN Melaka akan datang.

Ahmad Zahid berkata, disebababkan Muafakat Nasional (MN) tidak didaftarkan, beliau tidak nampak kerjasama MN itu direalisasikan sebagaimana Pilihan Raya Kecil yang pernah diadakan sebelum ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka awal bulan ini dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti.

Malah berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Baru, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Emas, Datuk Noor Effandi Ahmad hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cantik kalau umno berani sebagai percubaan menghadapi pru15 nanti. Kalau umno kalah pru15 nanti kena lah bersama parti lain. Kalau menang pru nanti umno tetal solo untok memerinh malaysia sekali lagi

Comments are closed.