Dr. Norlela Ariffin

GEORGE TOWN – Seramai 1,534 atau 27.13 peratus daripada 5,654 remaja yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

Daripada jumlah itu, pelajar sekolah tahfiz mencatatkan jumlah penerimaan terendah dengan 7.5 peratus atau 202 orang daripada 2,659 pelajar secara keseluruhan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr. Norlela Ariffin selepas pihaknya mendapati hanya 1,534 pelajar sahaja daripada tiga jenis sekolah agama itu divaksinasi setakat ini.

Jelas beliau, ibu bapa dan waris perlu segera bawa anak mereka terutamanya yang bersekolah di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam untuk mendapatkan vaksinasi memandangkan 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini akan ditutup pada 31 Oktober ini.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius susulan mengikut data, pelajar tahfiz mencatatkan rekod terendah apabila hanya 7.5 peratus iaitu 202 daripada 2,659 pelajar yang menerima vaksin Covid-19.

“Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sebanyak 1,095 daripada 1,834 pelajar sudah menerima vaksin manakala sekolah pondok pula sebanyak 237 daripada 1,161 pelajar sudah divaksinasi.

“Mengikut Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) vaksinasi pelajar diuruskan oleh keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hati ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Norlela berkata, bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan remaja, sebanyak 85.9 peratus iaitu 121,486 daripada 141,500 remaja di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama.

“Semalam sudah bermula pemberian suntikan dos kedua kepada golongan remaja dan bagi penduduk Pulau Pinang berusia 12 tahun ke atas yang masih belum suntik vaksin, sila segera ke 10 PPV untuk berbuat demikian,” kata beliau. – MalaysiaGazette