GEORGE TOWN – Seramai 180 pengunjung, termasuk pelancong di Bukit Bendera terkandas lebih dua jam, selepas perkhidmatan kereta api funikular mengalami kerosakan hari ini.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, perkhidmatan funikular itu mengalami gangguan dari 2.10 petang hingga 4.15 petang, sebelum operasi disambung semula setengah jam kemudian.
“Pasukan operasi PBBPP telah membawa pengunjung ke stesen bawah dengan kerjasama servis jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan penduduk atas kesabaran serta kefahaman anda,” katanya dalam kenyataan.
PBBPP memohon maaf atas segala kesulitan dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Bukit Bendera.
Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Cheok Lay Leng berkata, apabila mekanisme keselamatan mengesan kemungkinan berlaku kerosakan, ia akan terus mengunci brek kereta api daripada bergerak dan kejadian itu bukan disebabkan kes brek trek tidak berfungsi.
“Secara keseluruhan, kami menganggarkan kira-kira 150 hingga 180 pengunjung terjejas (terkandas) akibat kejadian tersebut, ketika itu kebanyakan mereka berada di dalam kereta api dan sebahagian lagi sedang beratur dari stesen atas untuk turun ke bawah.
“Kami telah memindahkan mereka di bawah prosedur kecemasan ke stesen terdekat atau tempat paling selamat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, semua pengunjung yang terkandas dibawa turun menggunakan jip ke Taman Botani, sebelum menaiki bas ke stesen bawah Bukit Bendera.
Katanya, mereka yang telah membeli tiket, tetapi tidak dapat melakukan perjalanan hari ini diminta kembali esok untuk menaiki kereta api atau PBBPP akan memulangkan wang. – MalaysiaGazette