Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpendapat tiba masanya kementerian itu melaksanakan anjakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, anjakan itu ke arah menyediakan kaedah pengajaran yang memenuhi keperluan industri secara optimum dan memberi impak tinggi kepada masyarakat serta negara.

“Kita sering mendengar pandangan terhadap sistem pendidikan yang sedia ada. Ada kata terlalu banyak kurikulum yang kurang relevan dengan keperluan pasaran.

“Tidak kurang juga menyuarakan wujudnya ketidaksepadanan kemahiran diajar dengan yang sepatutnya diperlukan.

“Komentar bahawa graduan dilahirkan tidak dapat memenuhi kehendak industri, kurang mahir berkomunikasi dan belum mempunyai set kemahiran yang pelbagai turut dikaitkan dengan isu kebolehpasaran graduan dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap melancarkan Experiential Learning and Competency – Based Education Landscape (EXCEL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff.

Menurut Dr. Noraini, menjadi satu perkara yang kritikal untuk meningkatkan pembelajaran berdasarkan pengalaman dan kecekapan dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Kata beliau, dunia tanpa sempadan ternyata telah mempengaruhi cara kita berkolaborasi dengan industri, komuniti atau global.

Bahkan, katanya, sifat teknologi yang mendorong perubahan dan inovasi dalam hampir semua aspek kehidupan seharusnya turut disantuni oleh sistem pendidikan tinggi tanpa kompromi agar program akademik yang ditawarkan di IPT kekal lestari.

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 menumpukan kepada usaha untuk mengimbangi antara aspek ilmu dengan akhlak.

“Terdapat enam atribut aspirasi pelajar yang digariskan dalam pelan ini, iaitu etika dan kerohanian, kemahiran kepimpinan, jati diri kebangsaan, penguasaan bahasa, kemahiran berfikir dan ilmu pengetahuan.

“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang serta berupaya menyumbang kepada persekitaran, masyarakat dan negara.

“Pembaharuan ini penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi di negara ini selari dengan kepesatan perubahan sistem pendidikan global,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi maksud itu, maka terbentuklah EXCEL, sejajar dengan perubahan landskap pendidikan tinggi yang kini mulai beranjak kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu.

Ia katanya, satu kerangka transformasi program akademik yang dibangunkan oleh KPT dengan kerjasama Universiti Awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta beberapa agensi lain seperti Talentcorp, MIDA dan PERKESO.

“Kerangka EXCEL ini memfokuskan kepada kaedah pembelajaran pendidikan berasaskan kompetensi dan pengalaman yang diterapkan dalam empat terasnya.

“Setiap teras EXCEL ini mempunyai elemen yang dominan iaitu elemen industri dalam Teras IDEAL, elemen komuniti dalam Teras CARE, elemen penyelidikan dalam Teras REAL dan elemen fleksibiliti dalam Teras POISE.

Dr. Noraini kemudian menjelaskan mengenai empat teras itu, yang mana Teras IDEAL memberikan pengalaman pembelajaran dengan industri kepada pelajar secara imersif bertujuan menghasilkan graduan yang selari dan memenuhi keperluan semasa dan juga industri.

Teras kedua, iaitu CARE pula memberikan pengalaman pembelajaran yang mendalam kepada pelajar menerusi hubungan rapat dengan komuniti, yang mana pengalaman pembelajaran itu memfokuskan kepada keperluan masyarakat dan mewujudkan perubahan sosial yang positif melalui pembelajaran berasaskan komuniti.

Teras ketiga, iaitu REAL, proses pembelajaran berdasarkan pengalaman yang membawa kepada pengembangan minda dan budaya pembelajaran inquiry dan explorative menjadi tumpuan.

Teras keempat, iaitu POISE, merupakan struktur kurikulum yang memperluas akses pelajar ke pelbagai pilihan mengikut minat dan kecenderungan pelajar. – MalaysiaGazette