Yang Jin (kiri) dan Rocky Yuan.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar pascasiswazah Pusat Pengajian Perniagaan Siswazah (GBS) Universiti UCSI memenangi Anugerah Kertas Kerja Terbaik melalui hasil penyelidikan mereka yang berimpak tinggi.

Pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Yang Jin berjaya mengetepikan 134 kertas kerja lain dengan tajuk ‘Faktor Yang Mempengaruhi Pelanggan Menggunakan Servis Pembayaran Mudah Alih Dalam Industri Peruncitan’ pada Persidangan Antarabangsa Sistem Teknologi Cerdas dan Memuncul (ICETIS) 2021.

“Saya berasal dari Beijing, China di mana perkhidmatan bayaran menggunakan telefon bimbit menjadi kebiasaan malah hampir tiada transaksi secara tunai. Kita boleh keluar rumah tanpa dompet tapi tidak tanpa telefon bimbit kerana bayaran mudah alih menggunakan telefon.

“Tapi di Malaysia suasananya sangat berbeza dan saya ingin tahu mentaliti pengguna di Malaysia sebab itu saya pilih topik ini untuk buat penyelidikan,” katanya yang berada di bawah seliaan Profesor Madya Dr Garry Tan Wei Han, salah seorang daripada 10 penyelidik terbaik dunia dalam bidang perdagangan mudah alih.

Penyelidikannya menumpu kepada faktor yang mempengaruhi pengguna di Malaysia dalam menggunakan perkhidmatan pembayaran secara mudah alih dalam industri peruncitan dan dijalankan sekitar Kuala Lumpur dengan mengedarkan 359 kaji selidik secara dalam talian.

Hasil penyelidikannya mendapati, kepuasan hati serta kepercayaan pengguna dalam pembayaran mudah alih mempunyai kaitan signifikan dengan penyediaan servis itu oleh pemain industri peruncitan itu sendiri.

Sementara itu, kertas penyelidikan pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan, Rocky Yuan bertajuk “Bolehkah Pandemik Covid-19 Mempengaruhi Tindak Balas Dalam Pembelajaran Mudah Alih?” yang disiarkan Telematics and Informatics (Elsevier) diiktiraf sebagai ‘Article Paling Banyak Dimuat Turun’.

Kertas penyelidikan sama memenangi Anugerah Kertas Kerja Terbaik tahun lalu di Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Perakaunan, Kewangan dan Ekonomi 2020.

Penyelidikannya mengenai pengaruh faktor pedagogi dan teknologi seperti kualiti kandungan pembelajaran, antara muka pengguna, kesalinghubungan serta kemudahan penggunaan mudah alih daripada pengalaman pengguna ketika pandemik Covid-19.

Yuan percaya penyelidikannya akan dapat membantu pendidik serta pereka bidang berkaitan untuk memahami lebih lanjut bagaimana sebenarnya pandangan pelajar terutama dalam situasi hari ini di mana pembelajaran jarak jauh merupakan satu-satunya pilihan yang ada.

Kertas penyelidikan ini ditulis bersama Profesor Kanan Ts Dr Ooi Keng-Boon, Dekan GBS yang tersenarai sebagai Penulis Paling Produktif Dunia dalam bidang perdagangan mudah alih menurut pangkalan data ‘Web of Science’ untuk tempoh 2007-2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast