LONDON – Gergasi La Liga, Real Madrid sedia menawar gaji tinggi kepada tonggak pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger sebanyak €12 juta (RM68 juta) setahun.
Nilai itu adalah sama dengan gaji pemain pertahanannya, David Alaba.
Sebelum ini, Rudiger dilaporkan masih enggan melanjutkan kontraknya dengan The Blues.
Kontrak semasa pemain berusia 28 itu berada pada tahun akhir dan dia boleh pergi ke mana-mana kelab secara percuma musim depan.
Selain Real, Bayern Munich juga berminat dengan Rudiger yang mana ejen pemain itu sudah memberikan isyarat bahawa mereka sedia berunding dengan mana mana kelab.
Rudiger menyertai Chelsea pada 2018 dan dia pada awalnya berdepan kesukaran terutama pada era Frank Lampard apabila disisihkan daripada skuad.
Namun kehadiran Thomas Tuchel telah membangkitkan kariernya dan menjadi salah seorang bek tengah terbaik Eropah ketika ini. – MalaysiaGazette