GOMBAK – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor menggerakkan seluruh anggotanya untuk memantau laluan dan lebuh raya utama yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang pergerakan merentas negeri.
Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, laluan tersebut membabitkan kawasan Gombak, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
“Kita gerakkan anggota di seluruh negeri Selangor dan sehingga petang ini pergerakan atau aliran trafik di laluan utama dan lebuh raya masih berjalan lancar.
“Berdasarkan semakan yang dibuat dengan syarikat konsesi lebuh raya, sepanjang minggu ini bermula Isnin lalu memang ada peningkatan antara 15 hingga 20 peratus iaitu kembali kepada jumlah pergerakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Tol Gombak hari ini.
Terdahulu, Azman meluangkan masa kira-kira 30 minit memantau aliran trafik yang bertali arus di plaza tol berkenaan.
Mengulas lanjut, Azman berkata, selain memantau aliran trafik, pemeriksaan rambang turut dijalankan di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memastikan setiap individu memenuhi syarat pergerakan rentas negeri.
“Kita juga lakukan pemeriksaan rambang di R&R tapi setakat ini semua yang bergerak memang sudah lengkap dua dos vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Selain itu, saya juga berharap supaya setiap individu dapat menjadi lebih bertanggungjawab terhadap diri dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan,” ujarnya.
Pada 10 Oktober lalu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis bermula Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pengumuman khas berkata, dengan keputusan itu, rakyat Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya. – MalaysiaGazette