Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat di Malaysia seharusnya mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi terhadap pekerja asing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat-syarikat besar yang berbekal keuntungan berlipat kali ganda ini perlu mengambil langkah serius untuk menggunakan pekerja tempatan.

“Inilah masa untuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal.

“Segala keuntungan lumayan yang dinikmati selama ini harus menjadi pendorong, malah pendesak kuat, untuk syarikat-syarikat besar ini menyumbang kepada negara dengan cara yang lebih bersepadu selain jalan cukai, sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan lain-lain,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Beliau berkata, isu kos meningkat tidak boleh dijadikan alasan memandangkan keuntungan dan laba perolehan yang dikaut selama ini sangat besar dan lumayan.

“Peningkatan kecil kos operasi kerana mengurangkan pekerja asing dan mengutamakan bakat serta warga tempatan tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukannya.

“Ia harus dilihat sebagai agenda nasional atau oleh syarikat-syarikat ini, malah, dalam konteks polisi, tidak pelik kalau ikhtiar mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ini dilihat sebagai satu bentuk harm reduction policy kepada ekosistem ekonomi Malaysia,” katanya lagi.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, biarpun tidak mampu menyekat dan mengetepikan pekerja asing sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya syarikat-syarikat dengan keuntungan ratusan juta ringgit ini boleh memulakan langkah mengutamakan pekerja dan bakat tempatan.

“Saya sangat berharap yang syarikat-syarikat tempatan yang mengumpul kekayaan besar di negara kita ini akan lebih berjiwa besar.

“Pastikanlah segala kemewahan dan kemakmuran negara yang dikaut selama ini dikongsikan dengan cara yang lebih bermakna dan menyeluruh dengan menggaji lebih ramai pekerja tempatan.

“Saya yakin, jika syarikat-syarikat pengeluaran di negara kita menawarkan insentif yang baik seperti gaji yang bermaruah, manfaat perubatan dan kesihatan yang munasabah, peluang latihan yang berkualiti, keseimbangan alam pekerjaan dan kehidupan, ramai sahaja anak tempatan yang mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan, malah, segala industri yang lain,” tulisnya lagi.

Beliau menambah, antara perkara positif yang sering didengar sepanjang episod pandemik Covid-19 bermula awal Januari 2020 sehingga kini, syarikat-syarikat mega pengeluar sarung tangan terus menerus mencatatkan keuntungan yang sangat besar.

“Di sebalik cerita kesempitan, kesengsaraan dan penderitaan banyak pihak, kebanyakan syarikat ini dan para pemilik mereka mendapat durian runtuh dan muncul sebagai bilionair baharu negara kita.

“Sehingga kini mereka semua dijangkakan akan terus merekodkan keuntungan besar berlipat kali ganda untuk tahun-tahun mendatang.

“Ada yang sampai merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam sejarah melepasi syarikat petroleum negara,” katanya.

Jelasnya, syarikat-syarikat mega seperti Top Glove telah meraih keuntungan bersih berjumlah RM7.87 bilion iaitu peningkatan sebanyak 350 peratus daripada tahun kewangan 2020.

“Manakala, pada tahun kewangan 2021 (berakhir 31 Mac 2021), Hartalega Holdings Berhad meraih keuntungan bersih sebanyak RM2.9 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 568.4 peratus daripada tahun kewangan 2020.

“Dalam kes Kossan Rubber Industries Bhd, mereka dilaporkan meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.06 bilion pada suku kedua 2021, iaitu peningkatan lebih daripada lapan kali ganda keuntungan bersih suku kedua tahun 2020 (RM131.06 juta), malah, jumlah keuntungan bersih Kossan pada 6 bulan pertama 2021 (RM2.11 bilion) adalah lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan keuntungan bersih mereka dua tahun sebelumnya : 2020 (RM1.08 bilion) dan 2019 (RM224.8 juta),” katanya. – MalaysiaGazette