Fisol melakukan pemantauan SOP di kawasan Pantai Batu Feringghi hari ini.

GEORGE TOWN – Hari keenam kebenaran aktiviti rentas negeri menyaksikan aliran trafik kemasukan kenderaan ke Pulau Pinang meningkat sebanyak 38 peratus.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, walaupun aliran trafik menunjukkan peningkatan namun pergerakkan kenderaan berjalan lancar dan terkawal berdasarkan pemantau polis sejak semalam.

Fisol (tengah).

Jelas beliau, berdasarkan pemantauan pihaknya juga, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang awam di negeri ini turut berada dalam keadaan memuaskan.

“Aliran trafik menghala ke utara selepas Pulau Pinang memang sedikit sesak dan pemantauan kita mendapati aliran trafik meningkat sebanyak 38 peratus ke negeri ini.

“Setakat ini, sebanyak lapan kompaun berjumlah RM32,000 dikeluarkan kepada pelanggan yang dine-in tanpa dos lengkap dan dua pemilik premis atas kesalahan langgar SOP.

“Selain itu, menerusi penguatkuasaan trafik juga sebanyak 357 saman dan sitaan motosikal dikeluarkan semalam bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan menerusi Program ‘Outreach Covid-19’ di pesisir pantai Batu Feringghi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Pada program itu, polis turut meninjau di beberapa lokasi tumpuan seperti restoran nasi kandar, kawasan pantai dan hotel.

Kata Fisol, menerusi pemantauan berkenaan, pihak polis juga difahamkan kebanyakan hotel turut mengambil langkah dengan hanya menerima sebanyak 50 hingga 70 tempahan bilik bagi mengelak kesesakan.

Fisol berbual dengan pengusaha jet ski di Batu Feringghi.

Mengulas lanjut Fisol berkata, selaras dengan jangkaan kedatangan pelancong ke negeri ini, polis terus menjalankan pemantauan dapemeriksaan pematuhan SOP di lokasi tumpuan.

“Kita turut bersiap siaga dalam menghadapi kes jenayah dan kemalangan apabila kelonggaran dan beberapa sektor dibuka,” kata Fisol.

Sementara itu, pengusaha dan operator jet ski Mohd Izahari Darus, 45, berkata, kawasan pantai Batu Feringghi seakan ‘hidup semula’ selepas sekian lama tidak menerima kunjungan pelawat.

Mohd Izahari.

“Selepas dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Oktober lalu, permintaan terhadap sewaan jet ski meningkat sepanjang minggu ini.

“Situasi membuatkan penduduk tempatan dapat menjana semula pendapatan selepas sekian lama terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette