Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat pendedahan Pandora Papers yang dibuat oleh media antarabangsa baru-baru ini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pendedahan itu menarik perhatian rakyat Malaysia kerana ia mengaitkan beberapa tokoh politik negara ini yang dikatakan mempunyai kepentingan kewangan peribadi di akaun pesisir pantai dan negara luar.

“Atas sebab itu, ABIM merasakan desakan menerusi usul yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar pendedahan ini dibahaskan di Parlimen adalah tepat memandangkan ia membabitkan ketelusan dan integriti dalam kalangan ahli politik khususnya mereka yang pada masa kini menjawat tugasan penting dalam pentadbiran pada ketika ini.

“Perbahasan menerusi usul khusus mesti didahulukan agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan secara menyeluruh menerusi mekanisme rasmi sidang Parlimen kerana ia membabitkan kebertanggungjawaban terhadap kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Faisal, media antarabangsa, International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ) turut melaporkan bahawa Pandora Papers juga mengaitkan firma Baker Mckenzie dengan Jho Low yang terlibat dengan skandal kewangan 1MDB yang memalukan maruah rakyat Malaysia di pentas antarabangsa.

Atas dasar tersebut, katanya, ABIM menggesa perlu ada rang undang-undang yang mewajibkan setiap pemimpin negara mengistiyharkan nilai wang serta aset yang dimiliki mereka baik yang ada di dalam serta luar negara.

Rang undang-undang itu juga perlu mewajibkan setiap pemimpin negara berkenaan menjelaskan sumber serta bagaimana aset-aset ini dikumpulkan, kata Muhammad Faisal.

“Rakyat perlu terus menyuarakan keprihatinan mereka dengan tuntutan agar pendedahan Pandora Papers perlu dibahaskan secara terbuka semasa sidang rasmi Parlimen dan disiasat menerusi mekanisme perundangan rasmi,” ujarnya.- MalaysiaGazette