Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika Op Patuh PDRM di Kondominium D'Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan ke atas individu antivaksin yang menyebarkan berita palsu kepada rakyat.

Setakat ini polis telah membuka dua kertas siasatan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan hari ini.

“Bagi kes pertama, siasatan dilaksanakan berhubung penularan klip video seorang wanita tempatan yang mengaitkan kematian dua orang murid sekolah di Ipoh akibat suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam).

Tambah Abd. Jalil, wanita itu turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan).

Menurutnya, kertas siasatan berkenaan akan dirujuk ke pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut.

Kes kedua, kata Abd Jalil, melibatkan siasatan terhadap ciapan pemilik akaun Twitter khalid@khalids mengenai kematian 41 orang guru disebabkan oleh suntikan vaksin.

Siasatan ke atas individu terbabit dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana memfitnah) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu (penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

“Kertas siasatan ke atas Khalid@Khalids masih dalam tindakan pihak polis kerana sedang menunggu laporan profiling dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara. – MalaysiaGazette