MELAKA – Satu operasi penerbangan ihsan bagi membawa lima kotak organ manusia untuk kegunaan pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) digerak menggunakan helikopter Agusta AW189 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, penerbangan itu mengambil masa lebih sejam setelah pesawat berlepas dari LTAM pada 2.36 petang.
“Misi ini menggunakan ambulans udara bertujuan mempercepat penghantaran bagi menyelamatkan nyawa, menjamin integriti organ yang dipindahkan dan menjamin kualiti penghantaran organ,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, ambulans udara itu dikendalikan juruterbang Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dan pembantu juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli dari Pangkalan Udara JBPM Subang. – Bernama