Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas pada mesyuarat Pakatan Harapan mengenai pembubaran DUN Melaka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selangor. Foto SYFAIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2021.

RAWANG – Isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak mencerminkan semangat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Pembangkang itu, isu yang timbul daripada keruntuhan kerajaan negeri Melaka tidak ditangani dengan telus dan tiada perbincangan dengan pihak pembangkang dilakukan terlebih dahulu.

“MoU tidak sebut tentang PRN negeri tetapi dia semangat MoU itu nampak diketepikan juga kerana semangat MoU itu ketelusan, perbincangan dan muafakat, ini tidak berlaku dalam kes PRN Melaka.

“Walaupun PM ada panggil saya dan sebut perkara ini sedikit sebelum ini, tapi ada juga kejayaan antaranya reformasi Parlimen,” katanya pada sidang media di Serendah, dekat sini, hari ini.

Pada September lalu, wakil kerajaan dan gabungan pembangkang memuktamadkan memorandum persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan PH.

MoU itu merupakan persetujuan berbentuk perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) bagi membolehkan blok pembangkang memberi sokongan kepada usul-usul penting yang akan dibentangkan kerajaan, seperti Belanjawan 2022.

Malah MoU itu adalah langkah untuk merintis jalan bagi kedua-dua pihak memberi tumpuan utama kepada “landskap politik baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen”.

Dalam pada itu, Anwar berkata PH yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bersedia menghadapi PRN itu sekiranya ia diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

“Kita telah nasihatkan kerajaan ancaman kepada kesihatan rakyat, tetapi oleh kerana TYT telah umumkan secara gopoh gapah dan dengan mengikut nasihat yang salah dan tidak tidak ikut peraturan dengan letak jawatan malah tidak panggil semua dan tidak ikut proses. Inilah bencananya sekarang.

“Satu keputusan yang dibuat secara gopoh gapah dan tidak ikut peraturan, ancamannya kepada rakyat, walaubagaimanapun PH akan hadapi sebagai satu pasukan dan kita akan gempur Melaka dan banyak isu yang kita akan bangkitkan,” katanya lagi.

SPR akan mengadakan mesyuarat esok di Melaka bagi membincangkan urusan PRN Melaka yang ke-15.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan diadakan di sebuah hotel di Melaka pada jam 10 pagi.

PRN Melaka perlu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 pada 4 Oktober lalu selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti sokongan sebagai Ketua Menteri.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada kepimpinan beliau, iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee. – MalaysiaGazette