MELAKA – Perjumpaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama ahlinya di sebuah hotel di sini turut dihadiri empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali.
Kehadiran keempat-empat mereka iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka akan menyertai Pakatan Harapan (PH).
Anwar yang tiba pada jam 8.15 malam diiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Manakala keempat-empat ADUN itu tiba selang 15 minit kemudian dengan diketuai Idris.
Anwar dijangkan menyampaikan amanat kepada ahli-ahli PKR di negeri ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 20 November depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Malah petang tadi, Adly berkata, PH Melaka sudah mempunyai bayangan barisan calon bagi menghadapi PRN ini.
Adly berkata, pada awalnya persiapan berkenaan adalah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 namun pihaknya akan menggunakan persiapan tersebut bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Abdul Ghani Salleh hari ini menetapkan tarikh PRN Melaka pada 20 November depan manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal diadakan pada 16 November depan.
DUN Melaka dibubarkan pada 5 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman. – MalaysiaGazette