Muhamad Khanafi Husin.

KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS PLT (Al Ansar), syarikat  kontraktor perumahan yang menggunakan kaedah Inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS) berjaya mencatat jualan sebanyak RM7.5 juta menerusi  Kempen Pemilikan Banglo IBS 2021 (BIOC 2021).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, pihaknya kini yakin sasaran jualan RM10 juta dengan pembinaan 70 unit banglo yang dilancarkan pada awal tahun ini mampu menjadi kenyataan.

Jelas beliau, kejayaan jualan 37 unit banglo ketika ini membuktikan keyakinan orang ramai terhadap integriti Al Ansar yang terus kukuh di sebalik negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19.

“Jumlah sasaran melalui kempen awal tahun dijangka dapat dicapai kerana masih berbaki dua bulan lagi untuk tahun 2021. Ini dikukuhkan lagi dengan sokongan dan keyakinan pembeli yang sentiasa mendahulukan kepentingan jangka panjang membina kediaman sendiri meskipun dalam situasi pandemik.

“Buktinya mereka terus berurusan secara terus dengan wakil Al Ansar untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kempen, membayar deposit serta menempah reka bentuk walaupun pihak kerajaan mengarahkan  industri pembinaan ditangguhkan sementara  akibat  pandemik.

“Kepercayaan tersebut tidak kami sia-siakan kerana sebaik sahaja industri pembinaan  dibuka, pembinaan terus rancak dilakukan dan kini terdapat 37 unit banglo sedang dibina di seluruh negara secara serentak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Akhir Tahun sempena BIOC 2021 yang bermula bulan ini sehingga 31 Disember ini di sini baru-baru ini.

Sementara itu menurut , Pengurus Besar Al Ansar IBS PLT, Farizal Tumiran selain tertarik dengan kempen, pelanggan yang menyokong juga bijak mengambil kesempatan melalui tawaran harga menarik dan diskaun yang berbaloi untuk direbut.

“Pihak syarikat masih mengekalkan pemasangan lampu dan kipas secara percuma di setiap ruang, table top sepanjang lapan kaki, seunit pemanas air, perjanjian pembelian percuma, perlindungan takaful rumah dan perabot untuk tempoh setahun, juga pemasangan korni syiling  di ruang tamu, ruang makan dan ruang keluarga.

“Malah ketika promosi berlangsung di seluruh semenanjung (kecuali Kelantan dan Perlis) turut  diadakan happy hour yang menawarkan televisyen Android 40 inci. Lebih menarik pihak syarikat juga memberi pengurangan harga banglo mengikut reka bentuk yang dipilih sehingga  15 peratus.

“Ini bermakna jika digabungkan nilaian barangan dan perkhidmatan yang diberikan dengan  pengurangan harga banglo, orang ramai akan menikmati diskaun sehingga RM40,000, “ ujarnya.

“Kempen akhir tahun ini menawarkan lima rekabentuk lama dan baharu yang mempunyai tiga hingga lima bilik tidur. Terdapat rekaan Sumayyah, Cempaka, Tulip, Aleesya dan Mallow dengan tawaran harga serendah RM125,000 hingga RM330,000 setiap unit.

Farizal memberitahu, syarikat  turut mempelawa kontraktor  baru dan lama untuk menambah kemahiran dalam pembinaan menggunakan kaedah IBS apabila akan meneruskan  kursus  pemasangan bata lego (interlocking bricks) dan pemasangan atap gajah pada bulan November nanti.

Jelas beliau, kursus siri pertama dan ke dua yang mengenakan bayaran sebanyak RM200 untuk seorang peserta telah dijalankan bulan Julai dan Oktober lepas.

“Selain menambah kemahiran dalam bidang berkaitan IBS, peserta kursus  juga berpeluang menjadi sub kontraktor di bawah projek-projek  Al Ansar pada masa akan datang mengikut kemahiran masing-masing dan  bergantung kepada lokasi pembinaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast