KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar sambungan prosiding pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1Malaysia Development Malaysia (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi ke-7 pendakwaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, memaklumkan Najib tidak pernah meminta pindaan dibuat terhadap laporan audit khas berhubung projek klia2.

Ini kerana, kata Saadatul, bekas Pengarah Jabatan Audit Negara, laporan audit 1MDB berkaitan projek syarikat 1MDB dan klia2 bersifat siasatan, bukan  seperti audit biasa yang dijalankan pihaknya selama ini.

Pembinaaan klia2 yang bermula pada 2012 dan ianya telah dibuka kepada umum pada tahun 2014 dengan dakwaan berlaku peningkatan kos terhadap projek berkenaan.

Ketika pemeriksaan semula hari ini oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Saadatul berkata, Najib tidak meminta salinan, selain pindaan dilakukan terhadap laporan audit khas klia2.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mendengar keterangan saksi pendakwaan berhubung dakwaan Najib meminta pindaan pada laporan audit khas 1MDB, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada Mac 2016.

Pada bulan Mei 2015, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, kabinet ketika itu menyokong audit dibuat terhadap lapangan terbang klia2 untuk syarikat penerbangan tambang rendah di Sepang, yang mana ketika itu Najib merupakan perdana menteri antara 2009 hingga 2018.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung pada 29 November ini. – MalaysiaGazette