Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan program bantuan dan sokongan dalam Bajet 2022 untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, ia menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan serta memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Bajet 2022 yang bakal dibentangkan pada 29 Oktober ini dirangka berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan mengikut keperluan utama.

Pada masa yang sama Bajet 2022 akan memperlihat agenda kelestarian dan kemampanan terus diperkukuhkan.

Menurutnya, kerajaan akan menumpukan ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, kemampanan dan tadbir
urus ( ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan Kerajaan.

Ini adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

”Secara khususnya, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan atau 3R iaitu Recovery (pemulihan), Resilience (pemangkin) dan Reform (pembaharuan),” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP PEMULIH Fasa 2 SME Bank.

Katanya, untuk mencapai hasrat sebagai pemangkin pembaharuan pula, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) .

Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah pun menyediakan pelbagai insentif dan pakej rangsangan serta program pemulihan ekonomi bagi memastikan para usahawan dapat bertahan dan meneruskan perniagaan.

Sebagai contoh, kerajaan telah menyalurkan RM6.1 bilion kepada 1 juta usahawan mikro di bawah Geran Khas Prihatin untuk membantu mereka bertahan sepanjang pandemik ini.

Kini dengan ekonomi kembali dibuka sepenuhnya, maka kebanyakan usahawan memerlukan suntikan modal untuk memulakan kembali perniagaan.

Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan untuk tujuan ini, salah satunya ialah Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN).

Skim ini menyediakan kemudahan jaminan sehingga 80% daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai modal kerja yang disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat penularan wabak Covid-19.

Setakat 1 Oktober 2021, jumlah jaminan yang telah diluluskan di bawah DPGS adalah lebih RM2 bilion.

Beliau juga menyeru kepada para usahawan untuk berjumpa dengan pihak bank atau institusi kewangan untuk memanfaatkan pelbagai skim yang disediakan sekiranya anda
perlukan bantuan. – MalaysiaGazette