Wajah lelaki yang merentap telefon bimbit milik wartawan Youm7. foto Youm7

KAHERAH – Pengguna media sosial Mesir ‘memuji’ tindakan seorang lelaki yang menunjukkan wajahnya secara ‘live’ kepada ribuan orang ketika mencuri telefon bimbit milik seorang wartawan.

Kejadian itu berlaku semasa Mahmoud Ragheb, wartawan Youm7 sedang membuat liputan secara langsung di media sosial.

Tiba-tiba muncul seorang penunggang motosikal lalu merampas telefon bimbit Ragheb.

Namun, siaran langsung itu berjaya merakam wajah lelaki tersebut ketika dia melarikan diri dari tempat kejadian sambil  menghisap rokok.

Polis kemudian memaklumkan penangkapannya.

Menurut Youm7, insiden itu berlaku di sebuah jambatan di Shubra Al-Khaimah, kota keempat terbesar di Mesir.

Semasa itu, Ragheb melaporkan mengenai kesan gempa berskala 6.2 yang menggegarkan beberapa bahagian di Mesir.

Ragheb sedang merakam jambatan ketika telefonnya direntap  oleh pencuri tersebut menyebabkan rakaman secara langsung itu bergoyang.

Setelah kamera berhenti bergoyang, kamera itu menunjukkan dengan jelas wajah seorang pemuda yang menghisap rokok dan kelihatan sedikit gugup sambil memandang ke arah belakang untuk melihat sama ada dia dikejar.

Seorang warga maya berkata, dia ‘boleh mati akibat tergelak’ manakala seorang lagi mempersoalkan mengapa pencuri itu memandang ke belakang sedangkan ‘seluruh dunia memerhatikannya’.

Lebih 20,000 orang sedang menonton ‘live’ ketika kejadian itu berlaku.

Menurut angka di Facebook, video berkenaan merekodkan 6.2 juta penonton dan 45,000 komen dalam tempoh 24 jam. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast