Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini meneruskan keterangan saksi bagi perbicaraan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri NajibĀ  Razak.

Turut sama didakwa ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Najib tiba pukul 9.15 pagi ini disusuli Arul dalam keadaan tenang serta sempat senyum dan bercakap dengan beberapa penyokong serta wakil media sebelum masuk ke dalam mahkamah untuk menyambung prosiding yang ditangguhkan pada 30 September lepas.

Prosiding dijangka lewat sedikit hari ini memandangkan peguambela yang mengetuai pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah perlu menghadiri kes saman beliau dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di Mahkamah Persekutuan secara talian pagi ini.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

Kali terakhir pemeriksaan balas sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib memberitahu Mahkamah Tinggi beliau telah mengarahkannya supaya tidak memasukkan isu sensitif membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam laporan audit.

Tan Sri Shukry Mohd Salleh memberitahu, arahan itu dikeluarkan ketika beliau berjumpa Najib di pejabatnya, dua hari selepas mesyuarat membabitkan laporan audit diadakan di pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, pada 24 Februari 2016.

Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, beliau kemudiannya menghubungi Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang ketika itu bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN) dan menyampaikan arahan Najib.

Menurut Shukry pada 23 Februari 2016, beliau bersama Tan Sri Ambrin Buang, yang ketika itu Ketua Audit Negara telah berjumpa dengan Ali di pejabatnya dan semasa perjumpaan itu, mereka dimaklumkan oleh Ali bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada 24 Februari 2016 dan telah menjemput wakil-wakil daripada JAN, 1MDB, Perbendaharaan dan Jabatan Peguam Negara.

Prosiding bersambung sebentar lagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dengan saksi ke-7, bekas pengarah audit Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad sambung beri keterangan. -MalaysiaGazette