KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Brad Maloney.
Ia bagi menghadapi saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 menentang Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 25 hingga 31 Oktober 2021.
Senarai itu turut menampilkan empat pemain kebangsaan iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Quentin Cheng (Penang FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) yang telah pun menyertai pasukan pada Isnin lalu sejurus mereka selesai kuarantin selepas pulang dari tugasan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe di Amman, Jordan.
Sementara, sembilan pemain dari kem latihan pusat Fasa 2 tidak berada dalam senarai akhir tersebut kerana masalah kecederaan iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Firdaus Ramli, Alif Mutalib dan Chia Ruo Han (Johor Darul Ta’zim II) serta K. Thivandaran (PJ City FC).
Penjaga gol Firdaus Irman Fadhil, Khairi Suffian Khaineyusri, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (Selangor FC 2) juga tidak disenaraikan.
Skuad kendalian Maloney ini akan berlepas ke Ulaanbaatar hari ini yang mana Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober ini diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober ini dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober ini bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.
Ketiga-tiga perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan. – MalaysiaGazette