Covid-19 Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. 1MDB tampering audit report Arul Kanda witness
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini  membenarkan rayuan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung peranannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam rayuan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam terkenal itu dalam saman fitnahnya mendakwa Majlis Peguam telah melanggar tanggungjawab statutorinya dan dua peguam lain dalam percubaan untuk membincangkan kelakuan beliau sebagai TiPR dalam kes liwat berkenaan ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu pada tahun 2015.

Malah tiga panel hakim sebulat suara memerintahkan Majlis Peguam membayar ganti rugi kepada Muhammad Shafee dan jumlahnya akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut sebelum ini.

Panel hakim yang diketuai oleh Tan Sri Rohana Yusuf berpandangan Majlis Peguam telah melakukan kesalahan tort dengan melanggar undang-undang di bawah Akta Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976.

Turut bersidang bersama-sama ialah dua lagi hakim iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Vernon Ong.

Ketika penghakiman dibaca, Abdul Rahman berkata, sebarang aduan mengenai kelakuan mana-mana peguam bela dan peguam cara atau mana-mana pelatih hendaklah dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib mengikut Seksyen 99(1) LPA 1976.

“Tetapi bertentangan dengan undang-Undang termaktub ini, Tan Sri Tommy Thomas dan Tan Sri VC George telah memberi usul kepada Majlis Peguam untuk mengutuk aduan salah laku oleh perayu.

“Ini prosedur salah yang telah digunakan oleh Tommy dan George dalam mengemukakan aduan terhadap Muhammad Shafee. Majlis Peguam telah melakukan pelanggaran undang-undang lebih serius dalam terbitkan usul tersebut dalam resolusi di AGM,” katanya secara atas talian hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung ganti rugi terhadap dua lagi responden iaitu Tommy yang juga bekas Peguam Negara dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, George kerana mereka bukan badan berkanun yang tertakluk di bawah akta tersebut.

Sebelum ini pada Ogos 2020, Muhammad Shafee yang juga peguam mengetuai beberapa kes bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak kes saman fitnah terhadap Majlis Peguam dan tiga lagi peguam.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul berkenaan. – MalaysiaGazette