Mike Chong

KUALA LUMPUR – MCA menggesa Lim Guan Eng berhenti bersikap provokatif apabila membabitkan isu-isu nasional.

Sebagai seorang ahli Parlimen dan pemimpin kanan parti politik, Guan Eng harus berusaha untuk bersikap profesional dan menangani sesuatu dengan profesionalisme.

Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP itu mencabar Datuk Seri Wee Ka Siong bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah.

Bagaimanapun, katanya, dua pelawaan daripada Ka Siong berakhir dengan penolakan Ahli Parlimen Bagan itu.

Mengimbas kembali pada tahun 2018, Guan Eng telah menolak pelawaan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu untuk berdebat mengenai skandal terowong bawah laut yang melibatkan wang berbilion pembayar cukai.

Menurutnya, ketika itu Guan Eng tidak mahu menurunkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung DAP untuk berdebat dengan Ka Siong yang hanya merupakan pemimpin nombor dua MCA (timbalan presiden).

”Pada tahun berikutnya, Ka Siong selaku Presiden MCA menjemput Guan Eng, yang ketika itu menteri kewangan untuk berdebat mengenai peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

”Tetapi, Guan Eng sekali lagi menolak, walaupun dengan berani mempolitikkan pemberian padanan geran untuk mengekalkan oerasi TAR UC,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sedangkan, Chong berkata, peruntukan itu adalah pemberian instrumen khas yang diumumkan oleh mantan Menteri Pendidikan, Tun Hussein Onn pada 22 Ogos 1972.

Sistem pemberian dana yang sesuai adalah pengaturan khas untuk TARC supaya pendidikan dapat terjangkau bagi rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Jumaat lalu, Guan Eng dalam hantaran Facebook mendakwa dia tidak menerima maklum balas daripada pejabat Ka Siong untuk membincangkan cabaran debat berkenaan dasar kabotaj yang menyebabkan pemasangan kabel dasar laut Apricot sepanjang 12,000 kilometer tidak membabitkan negara ini.

Bekas Menteri Kewangan itu turut memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Debat Dasar Kabotaj kononnya dianggotai beliau, Ka Siong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membincangkan cabaran debat.

Semakan mendapati tangkap layar itu adalah hasut maya (troll) berdasarkan tulisan ‘Mobile Meme’ di penjuru atas kiri tangkap layar itu.

Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Guan Eng untuk berdebat selepas Ahli Parlimen Bagan itu bertanya di Dewan Rakyat adakah dasar kabotaj menyebabkan Malaysia tidak dilibatkan dalam projek pemasangan kabel dasar laut oleh syarikat gergasi teknologi.

Melalui dasar kabotaj, kapal berdaftar di Malaysia akan diberi keutamaan termasuk melakukan kerja pembaikan kabel di dasar laut.

Dasar itu pernah dikecualikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun dikuatkuasakan semula semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembatalan pengecualian kabotaj diumumkan Ka Siong pada November 2020 bagi mengurangkan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran perkapalan atau pajakan serta bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap kapal asing dengan meningkatkan pembabitan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

Sementara itu, Ka Siong menyelar tindakan Guan Eng yang memfitnahnya apabila memuat naik tangkap layar kumpulan WhatsApp berkenaan sebagai tidak profesional dan berniat buruk.

Chong mendakwa tindakan terbaharu Guan Eng menggunakan tangkap skrin WhatsApp palsu untuk menunjukkan keadaan secara negatif dan mendakwa ia dibuat untuk tujuan sindiran.

Jurucakap MCA itu berkata, ia tidak seharusnya menjadi standard bagi ahli politik DAP kerana tindak-tanduk yang mengelirukan rakyat tidak sepatutnya menjadi pilihan.

Katanya, Ka Siong telah memberi jaminan bahawa perbahasan akan diadakan setelah Belanjawan 2022 dibentangkan.

Tambah beliau, TV3 juga telah menghubungi kedua-dua pihak dan mencadangkan perbahasan diadakan pada 2 November 2021.

Ka Siong, jelasnya telah bersetuju dengan tarikh tersebut.

”Jadi mengapa Guan Eng masih gelisah?,” tambah Chong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast