Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin menyampaikan sijil anugerah kepada Pengurus AEON Big Mid Valley, Mb Sree semasa mengadakan Walkabout Pemeriksaan dan Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) di pusat beli-belah Mid Valley City, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dibenarkan untuk beroperasi mengikut waktu operasi yang diluluskan pada lesen perniagaan ketika fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) WPKL, Ariffin Samsudin berkata, waktu dan tempoh untuk berniaga adalah berbeza mengikut jenis perniagaan dan setiap premis harus mematuhi waktu operasi masing-masing seperti yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pagi tadi saya ada perbincangan dengan Jabatan Pelesenan DBKL dan kita telah setuju bahawa acara atau jualan di ruang legar pusat beli-belah adalah dibenarkan bermula fasa 4 PPN.

“Dalam masa sama, saya juga maklumkan kepada semua agensi penguatkuasaan bahawa dalam fasa 4 PPN, waktu operasi premis perniagaan adalah seperti lesen yang dinyatakan oleh DBKL.

“Kalau lesen nyatakan premis berkenaan boleh beroperasi sampai pukul 12 tengah malam, maka boleh sampai 12 tengah malam. Jadi saya harap tidak berlaku sebarang kekeliruan kerana apa yang dimaksudkan dengan ikut pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah merujuk kepada waktu yang ditetapkan dalam lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) WPKL di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Menurut Ariffin, secara keseluruhan sebanyak 100 premis berjaya disenarai pendek sebagai penerima AKHP 2020 yang meliputi kategori gerai makan, kedai alat tulis, kedai makan, kedai pakaian, kedai runcit, pasar mini, pasar raya dan pasar raya besar.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) KPDNHEP Kuala Lumpur telah memulakan sesi pendengaran bagi kes-kes yang tertangguh bermula Isnin lalu.

Katanya, bagi tahun 2021, sebanyak 835 kes tuntutan pengguna telah direkodkan.

“Sesi pendengaran dijadualkan setiap hari bermula Isnin hingga Khamis bagi sebarang isu tuntutan yang difailkan berhubung transaksi perniagaan di bawah RM50,000,” ujarnya.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memeriksa harga kit ujian pantas RTK antigen yang dijual di sebuah farmasi semasa mengadakan Walkabout Pemeriksaan dan Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) di pusat beli-belah Mid Valley City, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2021.

Sementara itu, Ariffin berkata, bagi pemantauan harga kit ujian pantas (RTK) antigen, sebanyak 177 premis di peringkat peruncit telah diperiksa sehingga Selasa.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis menjual kit ujian pantas Covid-19 di bawah harga maksimum iaitu RM19.90.

“Tadi kita periksa di sebuah farmasi, mereka jual secara ‘bundle’ di mana lima kit ujian pantas dijual pada harga RM90.

“Inisiatif begini memang kita puji kerana ia memudahkan pengguna yang ingin beli secara banyak selain lebih menjimatkan,” katanya.

Untuk rekod, negeri Melaka dan Lembah Klang iaitu wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor telah beralih dari fasa 3 kepada fasa 4 bermula Isnin lalu.

Selain itu, negeri Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah turut beralih daripada fasa 2 kepada fasa 3 PPN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan berkata, dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri terbabit, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3. – MalaysiaGazette