Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia bangkit dengan aksi meyakinkan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Wang Tzu Wei dari Taiwan pada kejohanan badminton Terbuka Denmark semalam.

Zii Jia yang tewas set pertama, bangkit semula pada set kedua dengan 21-9 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-18 dalam pertarungan berlangsung 50 minit di Odense Sports Park.

Pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu dijangka berdepan seorang lagi pemain negara, Liew Daren atau pemain tuan rumah Hans-Kristian Solberg Vittinghus pada pusingan kedua.

Sementara itu, gandingan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik memerlukan 23 minit sebelum mengenepikan pasangan Belanda Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-17, 21-9 untuk mara ke pusingan kedua.

Beregu negara akan berdepan pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Sato yang menundukkan rakan senegara Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-18, 19-21, 21-14.

Dalam satu lagi aksi beregu lelaki, pemain beregu negara Goh V Shem yang membuat penampilan sulung dengan gandingan baharunya Low Juan Shen tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-14, 21-18.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula tersingkir awal apabila tewas kepada Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong 21-17, 21-19. – MalaysisGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast