Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Mekanisma yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pensijilan halal di peringkat antarabangsa adalah melalui pengiktirafan kepada 84 badan pensijilan halal luar negara, yang merangkumi 46 buah negara di seluruh dunia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perkara itu selaras dengan Perenggan 5 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan semua makanan dan barang-barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan jika makanan dan barang-barang import itu mematuhi kehendak perenggan 4 atau diperakukan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

“Badan inilah yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal bagi produk-produk luar negara yang memasuki pasaran di Malaysia.

“Antara usaha-usaha lain yang akan dijalankan oleh Jakim di peringkat antarabangsa adalah mengadakan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan sama ada berbentuk dua hala atau pelbagai hala,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara luar diikat dengan perjanjian persefahaman yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua negara.

Tahun lalu, Jakim mengiktiraf 84 logo halal daripada 46 buah negara seluruh dunia. Logo-logo ini adalah sebagai rujukan atau panduan pengguna untuk mengenalpasti logo-logo halal luar negara pada produk import yang dijual di pasaran.

Selain itu, pengimport juga mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia mempunyai sijil halal yang diiktiraf, bagi mengelakkan kerugian dan keraguan.

Sementara itu, dalan hantaran yang sama, Idris turut memaklumkan Jakim kini dalam proses mewujudkan modul Eksekutif Halal Antarabangsa sebagai persiapan untuk mewujudkan kumpulan pakar yang akan membantu Badan-Badan Pensijilan Halal Luar Negara dan pihak industri luar negara, mematuhi standard halal di Malaysia. – MalaysiaGazette