MERSING – “Inilah tempat saya satu hari nanti, cuma ditempatkan di mana saya tidak tahu. Saya memang suka ke kubur. ”
Poziman Kahar banyak menghabiskan masa di kubur hampir setiap hari bersama beberapa orang rakan sebaya.
Mereka adalah warga emas yang melakukan aktiviti sukarela membersihkan kubur hampir setiap hari di tanah-tanah perkuburan sekitar Mersing.
Lelaki berusia 57 tahun itu berkata, mereka yang yang terlibat dengan kerja-kerja sukarela terdiri daripada para pesara dengan pelbagai latar belakang pekerjaan.
“Yang terlibat ini semua sebaya saya yang sudah pencen. Pencen bomba, pencen kesihatan dan macam-macam lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Bermula hanya beberapa orang, aktiviti membersihkan kubur berjaya menarik perhatian penduduk setempat terutamanya selepas melihat tanah perkburan lapan dan bersih.
“Kalau dahulu tahun 80an hingga 90an kita nak datang kubur pun takut sebab gelap. Sekarang ini pukul 6 petang ke atas pun ada orang datang ziarah kubur kerana Alhamdulilallah sudah lapang hasil kerja kawan-kawan kita,” katanya.
Selain membersihkan kawasan perkuburan, mereka juga membuat lahad dan juga melaksanakan kerja-kerja lain mengikut kepakaran masing-masing.
Menurut beliau, ada kubur yang mendap akan dinaikkan semula dan kumpulan warga emas itu memastikan suasana di kawasan perkuburan terjaga rapi.
Kata Poziman, setiap Jumaat dia bersama rakan yang lain akan mengadakan tahlil kecil sebelum memulakan aktiviti yang menjadi kebiasaan kepada mereka.
Sementara itu, Isa Rani, 59, pula mengambil kesempatan mendidik anaknya Muhammad Aqil Faiz yang baru berusia 11 tahun untuk turut serta dalam aktiviti yang dilakukannya itu.
Katanya, tujuan berbuat demikian adalah ntuk menggalakkan anak lelakinya itu bercampur dengan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Paling penting, tegas beliau, selain ingin mendidik ilmu agama kepada Aqil, anaknya itu perlu didedahkan bahawa kubur bukan kawasan yang menakutkan.
“Saya mahu dia tahu apabila ada orang susah kita kena tolong, di kubur kita bawa dia dan kita ajar dia supaya lain kali kalau ada jiran atau keluarga sendiri dia tahu nak buat bila sampai kubur. Itu kita ajar dia.
“Kita ajar dia jangan ada perasaan takut, dia nak ikut kita bawa. Kita sedarkan bahawa sebenarnya asal usul kita di sini,”katanya.
Sementara itu, bagi Aqil dia mula seronok melakukan aktiviti pembersihan kubur bersama rakan bapanya yang kebanyakan di panggil atok.
Beliau berkata, setiap kali menerima khabar kematian, dia tanpa paksaan mengikut bapanya.
“Tiada rasa takut, hari itu ada atok tanya nak turun tak, saya kata nak turun lepas itu datang sini masa orang meninggal. Saya tolong buang-buang tanah dan korek tepi tanah.
“Seronok, seronok dapat tolong orang,” katanya. – MalaysiaGazette