Menteri Wilayah Perseketuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyerahkan kunci rumah pertama kepada pemilik rumah Residensi Satumas di Taman Desa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan mengenai pengeluaran arak jenama Tiimah yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, menurut beliau mesyuarat hanya menyentuh mengenai nama produk itu dan tiada perbincangan lanjut mengenai pengeluaran arak tersebut.

“Ada juga pengeluar yang mengeluarkan jenama Timah,  hari ini ada pengurusan Kabinet bincang mengenai nama tersebut.

“Jadi hari ini kita tidak bincang lagi, tapi bincang tentang lesen yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media selepas sesi penyerahan kunci Residensi Desa Satumas, hari ini.

Menteri Wilayah Perseketuan, Datuk Seri Shahidan Kassim beramah mesra dengan salah seorang keluarga yang menerima kunci rumah pertama Residensi Satumas di Taman Desa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021.

Arak Timah menjadi kontroversi berikutan jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ tetapi syarikat pengeluarnya mendakwa ia merujuk kepada bijih timah.

Label pada botol arak itu juga menggunakan paparan lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala seperti kopiah dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga seorang Kapten Polis di Larut, Perak, pada 1870-an.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, lesen untuk penjualan minum keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina di ibu negara akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurut beliau, penangguhan itu adalah untuk pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat perbincangan dengan pihak pengeluar dan majlis penduduk.

“Akan ada perundingan dan persetujuan, saya ambil pendekatan Keluarga Malaysia kerana kita harus bincang dengan cara yang elok dan harap diselesaikan. Syarat ketat yang dikenakan adalah mesti berusia 21 tahun ke atas, umat Islam tidak dibenarkan dan mesti jauh daripada hospital dan masjid.

“Kebenaran untuk kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat sedang dibincangkan sebelum tempoh tamat. Kita bersetuju pada akhir bulan ini dan selepas itu kita akan kuatkuasakan undang-undang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Shahidan berkata perbincangan mengenai larangan penjualan minum keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina di ibu negara masih diteruskan untuk mencapai kata sepakat semua pihak terbabit sebelum penguatkuasaan larangan penjualannya dilaksanakan.

Malah beliau turut berkata sebelum ini terdapat beberapa perjumpaan bersama pihak terbabit termasuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK).

DBKL, katanya mengambil pendekatan untuk menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan garis panduan itu hingga 31 Oktober sebelum ini adalah bagi memberi ruang untuk perbincangan lanjut. – MalaysiaGazette