Orang ramai beratur dibawah matahari terik bagi menikmati makanandi Restoran Hameediyah Lebuh Campbell di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Masalah kekangan pekerja yang dihadapi pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang pada masa ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka berdepan dilema kerana sukar memantau prosedur operasi standard (SOP) pelanggan.

Rata-rata pengusaha itu mendakwa kekangan pekerja itu berlaku akibat kebanyakan pekerja warga asing pulang ke negara asal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain lebihan pekerja diperlukan untuk memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi pelanggan yang kunjung ke premis mereka.

Jurucakap pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, masalah kekurangan pekerja itu membelenggu kebanyakan pemilik nasi kandar dalam memastikan pengunjung luar Pulau Pinang mendapatkan perkhidmatan terbaik ketika mengunjungi premis mereka.

Mohamed Rizwan.

Katanya, susulan kebenaran rentas negeri, restoran nasi kandar di negeri ini turut menjadi tumpuan pengunjung menyebabkan pekerja premis tidak menang tangan.

Mohamed Rizwan berkata, pada masa ini dianggarkan hanya terdapat 20,000 pekerja berbanding 40,000 pekerja di restoran nasi kandar di Pulau Pinang sebelum pandemik Covid-19.

“Susulan pengumuman rentas negeri memberikan nafas baharu buat pengusaha makanan di negeri ini susulan mengalami kerugian ketika PKP, namun dalam masa sama ia menyebabkan pengusaha berdepan kesukaran memastikan pelanggan memastikan SOP ditetapkan kerajaan.

“Sekurang-kurangnya empat pekerja diperlukan bagi memantau SOP sebelum masuk dan ketika berada dalam premis malah pada masa yang sama pekerja itu juga perlu melayan serta mengambil pesanan pelanggan.

“Kekangan ini menimbulkan kegusaran kepada pengusaha sekali gus memberi kesan terhadap perkhidmatan selama ini,” katanya kepada media ketika ditemui Lebuh Campbell, di sini, hari ini.

Pemilik Hameediyah Seeni Pakir (kiri) berbual dengan pelanggan di hadapan premisnya.

Mengulas lanjut Mohamed Rizwan berkata, masih terdapat segelintir pengusaha restoran nasi kandar di negeri ini yang tidak memberi perkhidmatan ‘dine-in’ berikutan masalah kekurangan pekerja dan sukar mengawal SOP pelanggan.

Tambahnya, pengusaha restoran nasi kandar sudah membuka peluang kerja kepada warga tempatan, tetapi tiada warga tempatan berminat untuk menjadi pembantu restoran premis nasi kandar.

“Bukan kami tidak mahu menggajikan warga tempatan, malah gaji minimum diberikan berjumlah RM1,800 tetapi tiada yang berminat.

“Ini menyebabkan kami terpaksa menggajikan pekerja asing tetapi kerajaan belum memberi kebenaran untuk mengambil pekerja asing buat pekhidmatan makanan ketika ini.

“Sehubungan itu, kami mohon kepada kerajaan supaya membenarkan semula pengambilan warga asing menerusi sektor perkhidmatan ini bagi mengatasi masalah berkenaan,” ujar Mohamed Rizwan.

Sementara itu pemilik generasi ketujuh Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkoor, 66, berkata, sejak 11 Oktober lalu, restorannya dianggar menerima antara 800 hingga 1,000 pelanggan sehari berbanding kira-kira 300 orang sebelum rentas negeri dibenarkan.

Seeni Pakir.

“Kini premis ini hanya mempunyai 20 pekerja yang mana 30 lagi terdiri daripada warga asing sudah dihantar pulang ke negara masing-masing berikutan pandemik Covid-19.

“Bukan sahaja menyebabkan pelanggan perlu tunggu lama tetapi hendak pantau pergerakan dan SOP pelanggan juga tidak sempat kerana kekurangan pekerja,” katanya lagi.

Menurut Seeni Pakir, pihaknya juga akan membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi kelonggaran bagi memasang khemah di kaki sebagai tempat berteduh kepada pelanggan yang beratur.

“Setakat ini, kami sediakan payung kepada pelanggan kerana kasihan melihat mereka menunggu dalam keadaan panas terik dan adakalanya hujan,” ujarnya.

Mengulas mengenai dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera, Ahamed Seeni Pakir berkata, pekerja tersebut baru pulang dari solat Jumaat dan pelanggan sudah mula membanjiri kawasan premis menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut sehingga dia terlupa mengimbas.

“Kami terima denda berkenaan dan kompaun itu akan dijelaskan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dh bg peluang berniaga bnyk lak songel korg, nt kerajaan tarik balik kebenaran tau pulak bising..aptb diorg ni

Comments are closed.