Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bercakap pada media atas tuntutan bantahan perihal dagangan arak jenama Timah di Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) membatalkan kelulusan mahupun lesen ke atas syarikat pengeluaran arak jenama Timah.

Pengerusinya, Muhamad Yusuf Azmi berkata, ini kerana arak tempatan yang menggunakan imej lelaki berjanggut memakai penutup kepala seakan kopiah didakwa cuba mengelirukan umat Islam di negara ini.

“Penggunaan, promosi dan iklan arak jenama Timah menggunakan imej lelaki tersebut memberi gambaran ia seorang lelaki Islam.

“Ini boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna khususnya orang Islam kerana ia menunjukkan seolah-olah arak itu boleh diminum oleh orang Islam

“Kita memohon Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi agar membatal kelulusan atau lesen yang telah dikeluarkan ke atas syarikat pengeluar arak tersebut,” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat KPDNHEP, hari ini.

Terdahulu beliau menghantar Memorandum Batahan Perihal Dagangan bagi arak jenama Timah di pasaran tempatan meminta pihak KPDNHEP menyiasat pemilik syarikat pengeluar arak terbabit.

Arak jenama tempatan itu dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Yusuf menegaskan tindakan sekerasnya perlu diambil ke atas syarikat arak terbabit kerana berniat jahat menggunakan nama Islam tanpa mempedulikan sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Sensitiviti umat Islam yang majoritinya adalah penduduk Malaysia wajar dan perlu diambil kira oleh semua pihak, lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara berkaitan atau bertentangan dengan ajaran Islam.

“Isu ini sangat sensitif kepada umat Islam dan lebih menyedihkan apabila arak jenama Timah ini tular dua hari sebelum sambutan Hari Maulidur Rasul,” katanya. – MalaysiaGazette