JOHOR BAHRU – Masalah kelewatan pengagihan benih padi di Kedah dan Perlis hingga didakwa menjejaskan lebih 50,000 pesawah di dua negeri itu bukan disebabkan penyelewengan, sebaliknya berpunca daripada permintaan tinggi terhadap varieti benih padi MR 297 yang tidak mencukupi.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tindakan kerajaan menetapkan harga siling RM35 bagi setiap beg Benih Padi Sah (BPS), selain penahanan beberapa individu, telah berjaya mengurangkan isu penyelewengan atau manipulasi benih padi.
“Isu ini tidak seserius seperti musim lalu dan ia lebih kepada isu varieti padi yang dikehendaki pesawah terhadap padi MR 297, sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim ini, namun Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras bersama agensi dan kementerian, sudah mengambil tindakan.
Untuk rekod, varieti benih padi MARDI SIRAJ (MR) 297 yang diisytihar pada tahun 2016 mendapat sambutan baik oleh pesawah, dan dianggarkan sebanyak 43.2 peratus pesawah di Semenanjung Malaysia menggunakan varieti itu.
Pada Rabu lepas, media melaporkan Jabatan Pertanian memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA Che Ani Mat Zain pada Selasa, mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.
Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pemain industri berhubung isu kenaikan harga barangan makanan yang dilaporkan baru-baru ini.
Beliau berkata, perbincangan itu perlu bagi mengesan punca masalah berkenaan berlaku selain mencari jalan penyelesaian agar pengguna tidak lagi terkesan sekali gus dapat mengawal harga produk makanan di negara ini.
Mengulas mengenai Bajet 2022 yang dijangka dibentangkan pada Jumaat depan di Dewan Rakyat, Ronald berharap peruntukan buat kementeriannya akan memfokuskan kepada pemulihan sektor agromakanan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Bajet 2022 dijangka dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – Bernama