BUTTERWORTH – Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dalam sebuah tong sampah berhampiran Flat B4, Taman Bagan di sini, hari ini.
Sumber MalaysiaGazette berkata, pihaknya polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut pada jam 9.35 pagi daripada salah seorang penduduk flat berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu dibalut dengan kain sebelum dibuang dalam timbunan sampah tersebut.
“Hasil temubual Pengerusi Komunti Rukun Tetanga flat berkenaan mendapati mayat itu ditemui dua lelaki warga Myanmar ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengutip sampah di kawasan tersebut.
“Berdasarkan pemeriksaan pada bayi yang cukup sifat itu kita dapati ia baru dilahirkan.
“Sehubungan itu, dengan bantuan penduduk pihak polis kini sedang mengesan wanita yang berada dalam pantang atau sebelum ini dilihat hamil untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi tersebut. – MalaysiaGazette