Seorang warga asing yang cuba melarikan diri ditahan ketika JPJ mengadakan Ops sepadu di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto AMIR4UL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Tindakan nekad seorang lelaki warga asing cuba meloloskan diri dalam pemeriksaan Op Bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta malam tadi tidak berhasil apabila dia berjaya ditahan selepas dikejar pihak berkuasa.

MalaysiaGazette difahamkan, lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Segambut dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda Vario.

Lelaki yang bekerja kontrak itu dipercayai meninggalkan isterinya yang membonceng motosikal berpura-pura ingin menelefon seseorang sebelum dia cuba melarikan diri sejauh kira-kira 100 meter ke tengah jalan berkaki ayam.

Namun, beberapa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sedang menjalankan tugas berjaya mengejar lelaki warga asing terbabit.

Difahamkan punca lelaki warga asing itu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak penguatkuasaan berikutan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri selain tidak mempunyai lesen motosikal.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, seramai 129 anggota yang terdiri daripada JPJ, JIM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlibat dalam Op Bersepadu yang dijalankan bermula pada pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam itu.

Menurut Aedy Fadly, antara kriteria pematuhan yang diutamakan JPJ membabitkan pemeriksaan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM), insurans dan LKM tamat tempoh serta kesalahan teknikal seperti pengubahsuaian, cermin gelap, lampu HID, nombor pendaftaran serta tali pinggang keledar.

Anggota JPJ memeriksa motorsikal semasa mengadakan Ops sepadu di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto AMIR4UL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021

“Dalam operasi yang dijalankan pada malam ini, sebanyak 318 notis kesalahan telah dikeluarkan.

“Kesalahan tertinggi yang dikesan adalah melibatkan LKM iaitu sebanyak 158 kes diikuti nombor pendaftaran kenderaan sebanyak 73 kes, lesen (66), cermin gelap (66), kesalahan teknikal (9), lampu HID (7) dan cermin sisi sebanyak lima kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Op Bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Pusat Bandaraya malam tadi.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara pemeriksaan lain yang dijalankan oleh agensi yang terlibat merangkumi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara; mengenal pasti pendatang asing yang menetap lebih masa; penyalahgunaan pas lawatan sosial; tiada dokumen pengenalan diri; penyalahgunaan dadah serta penguatkuasaan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Tuan Aedy Fadly Ramli memeriksa sijil vaksininasi MySejahtera penumpang bas ketika JPJ mengadakan Ops Sepadu di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto AMIR4UL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021

Antara lain, beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung halaman atau memandu ke mana-mana destinasi susulan pengumuman kebenaran rentas negeri sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Apa yang paling penting adalah mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya.

“Kita juga ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan adalah langkah terakhir dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.

“Pelaksanaan advokasi dan khidmat nasihat sentiasa diutamakan oleh setiap anggota yang bertugas di lapangan dengan harapan agar semua pengguna jalan raya dapat memahami setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan bukan untuk menghukum tetapi bertujuan mentertibkan pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Aedy Fadly berkata, JPJ telah memulakan operasi pemeriksaan di terminal bas seluruh negara sejurus pengumuman kebenaran rentas negeri bagi memastikan setiap penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kata beliau, anggota yang bertugas akan memeriksa sijil vaksinasi digital setiap individu bagi memastikan setiap penumpang sudah melengkapkan dos vaksin.

“Kita periksa status vaksinasi mereka dan kita akan pastikan hanya penumpang yang sudah divaksisan sahaja dibenarkan untuk menaiki bas,” katanya. – MalaysiaGazette