Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghidupkan kembali dua projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika ia  mentadbir negara.

Majlis Presiden PH berkata, pihaknya terkejut dengan pelaksanaan tersebut seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen baru-baru ini.

“Bayaran telah dibuat ke atas kedua-dua projek TSGP dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang diluluskan zaman BN sebanyak 88 peratus daripada nilai pembinaan atau RM8.3 bilion, walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambilkira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan
Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

Projek tersebut dikendalikan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MoF).

Awal hari ini, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan terkejut dengan tindakan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghidupkan kembali dua projek saluran paip yang terpalit dengan skandal pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, PH turut menggesa SPRM untuk melipat gandakan usaha menyiasat isu Pandora Papers yang telah menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik yang didakwa memiliki akaun-akaun luar pesisir (off-shore accounts).

PH berkata, siasatan harus dilakukan oleh agensi berkuasa Malaysia sama ada duit yang disimpan di dalam akaun-akaun terbabit berasal daripada sumber yang sah atau daripada kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Pandora Papers sungguhpun beliau tidak memiliki sumber-sumber seperti yang dipunyai SPRM dan juga tiada kepakaran siasatan khas berkait isu ini,” kata Majlis Presiden PH. – MalaysiaGazette