Soffian Santong.

GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang anggotanya enggan menerima laporan polis berhubung kes cabul, seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata pihaknya juga  memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung dakwaan tersebut.

“Pihak polis dan saya sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman dan beri jaminan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil akan dijalankan berhubung dakwaan yang tular di media sosial iaitu  Facebook itu.

“Jika terkesan terdapat salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada semua pegawai atau anggota yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan enggan menerima laporan daripada orang awam oleh pegawai atau anggota polis merupakan satu kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dikompromi.

Mengulas lanjut berhubung kes itu, Soffian berkata, selepas dakwaan itu tular, polis telah memanggil pengadu kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan dan bagi mengesahkan dakwaan sepertimana yang ditularkan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan,” katanya.

Pada 21 Oktober lepas, tular satu hantaran di Facebook oleh Urban Life Volunteers yang mendakwa kononnya anggota polis dari IPD Timur Laut enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul, dipercayai berlaku di dalam sebuah tandas wanita di Komtar.

Ramai pihak termasuk beberapa orang persendirian dan badan bukan kerajaan tampil memberi pendapat masing-masing yang kebanyakannya menyalahkan polis kerana didakwa tidak mahu menerima laporan mangsa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast