Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tanpa Singapura hanya satu pembaziran dan tidak mempunyai nilai ekonomi.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ini kerana Singapura adalah kuasa ekonomi Asia yang mampu menawarkan limpahan kemakmuran ekonomi yang luar biasa kepada Malaysia.
“Yang menjadi halangan ialah keterhubungan yang pantas, selamat, lestari dan murah. Saya mengulangi sekali lagi, bahawa dalam era penyambungan pantas, prasarana rel berkelajuan tinggi adalah apa yang Malaysia sangat perlukan.
“Sama ada Singapura KL atau KL Bangkok, Malaysia wajar membinanya,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam hantaran Facebook hari ini.
Pada 14 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian cadangan projek HSR domestik KL-Iskandar Puteri sudah siap dan sedia untuk diserahkan kepada Kabinet.

Tambah beliau, kajian HSR domestik itu adalah antara cadangan alternatif yang ditinjau kerajaan selepas pembatalan pembinaan HSR KL-Singapura.

Menurut Khaled, projek yang tidak menghubungkan metropolis Kuala Lumpur dengan Singapura tidak akan berdaya maju dan Johor Bahru bukan sebuah kuasa ekonomi seperti negara jiran itu.
Sebagai contoh, sewaktu pandemik, Johor Bahru berada dalam kedudukan pegun dalam pertumbuhan dan keberdayaan, tanpa pemain, pelabur dan pelancong dari Singapura.
Berikutan itu, beliau berharap kerajaan tidak membuang masa dan wang dengan cadangan yang tidak berdaya maju.
“Perancang ekonomi kita tidak mempunyai ‘an overreaching strategy’ dalam melaksanakan projek berimpak tinggi, rentas negara dan berkehasilan luar biasa.
“Sedangkan dalam pelbagai forum dan rundingan perdagangan antarabangsa, Malaysia lah yang berdegar-degar dengan retorik integrasi ekonomi serantau melalui keterhubungan perdagangan dan mobiliti pengguna dan pekerja,” katanya.
Namun untuk menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur, dua metropolis yang paling dinamik di Tenggara Asia pun Malaysia tidak boleh melakukanya, ujarnya.
Kata Khaled, alasan kos dan kemampuan kerajaan adalah alasan mereka yang gagal berimaginasi.
Tambahnya, semasa kerajaan membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Putrajaya dan Lebuhraya Utara Selatan Malaysia bukannya sebuah negara yang kaya.
Namun katanya, projek tersebut dilaksanakan kerana perancang ekonomi ketika itu mempunyai visi ekonomi mendahului masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast