Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang aktiviti perhimpunan, majlis sosial dan pelancaran jentera pilihan raya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibenarkan berkuatkuasa mulai esok hingga 27 November depan.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes secara mendadak akibat aktiviti berkenaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan  mengenal pasti antara punca peningkatan atau penyumbang kes serta kluster jangkitan Covid-19 berkait rapat dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Menurut beliau, faktor itu dikesan berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 oleh KKM.

“Sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Khairy, susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November ini, kementeriannya menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara.

Kata beliau, memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama varian Delta dan peningkatan bilangan kes baharu dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan dalam komuniti.

Menurutnya, larangan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Mengikut subperaturan ini, tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa yang ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” ujar beliau.

Khairy berkata, sebarang pelanggaran kepada peruntukan itu, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya. – MalaysiaGazette