Baru Bian

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB) melahirkan rasa terkilan dan kecewa pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditangguhkan.

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian berkata, penangguhan itu turut mengecewakan rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama menanti pembentangan keduanya dalam masa terdekat.

Ini kerana katanya, selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen dua tahun yang lalu membabitkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini satu kekecewaan buat penduduk Sarawak dan Sabah yang menunggu sekian lama untuk melihatnya berlaku.

“Saya terkejut yang pendirian Peguam Negara tidak diminta terlebih dahulu terutama berhubung perkara sepenting pindaaan Perlembagaan Persekutuan.

“Pelbagai aspek dalam rang undang-undang itu sepatutnya diperjelas Kabinet sebelum taklimat rasmi diberikan ahli Parlimen berkenaan cadangan pindaan ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pembacaan kedua RUU pada 28 Oktober akan dijadualkan semula ke tarikh lain.

Ini bagi membenarkan Peguam Negara untuk menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan tersebut kepada anggota Kabinet.

Bagaimanapun Wan Junaidi mendedahkan RUU mengenai peruntukan di dalam MA63 akan diteruskan di Parlimen pada Selasa 26 Oktober ini.

RUU itu bertujuan untuk mengubah Fasal 2, Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan, yang akan memberikan autonomi yang lebih luas kepada pemerintah Sabah dan Sarawak.

Tambah Baru Bian, perkara berkenaan telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan sejak pentadbiran terdahulu, namun masih belum selesai.

“Masih tidak terlambat untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan dan semua orang Sarawak dan Sabah menunggu-nunggu RUU ini dibentang di Parlimen.

“Saya harap penangguhan tidak terlalu lama. Saya teruja untuk menyertai perbahasan bagi menyokong cadangan pindaan,” tegasnya.

Pada April 2018, ketika pentadbiran PH, pindaan perlembagaan perjanjian ini gagal diluluskan di Dewan Rakyat kerana gagal mendapat majoriti dua pertiga, setelah 59 ahli parlimen berkecuali daripada mengundi. – MalaysiaGazette