Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok dapat dijadikan sumber rujukan dalam pembangunan sektor agromakanan negara.

KUALA LUMPUR – Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok dapat dijadikan sumber rujukan dalam pembangunan sektor agromakanan negara.

Ia boleh dijadikan rujukan baik kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut maklumat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, sokongan daripada semua pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, pengusaha, ahli akademik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan penting supaya aspirasi dan objektif DAN 2.0 dapat dicapai menjelang 2030.

“Secara dasarnya, DAN 2.0 akan mengetengahkan 21 strategi dan 77 pelan tindakan berteraskan lima teras utama dengan fokus kepada aspek dan komponen selain DAN 2.0 juga akan berpaksikan kepada lima teras dasar utama iaitu mendukung pemodenan dan pertanian pintar yang meliputi penggunaan kaedah pertanian pintar serta penekanan kepada pembangunan penyelidikan,” kata kenyataan itu.

Kedua, memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport dan penghasilan produk agromakanan bernilai tinggi yang mampu memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport, rantaian nilai, pelaburan.

Ketiga, membangunkan bakat yang memenuhi permintaan industri dengan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan di samping mewujudkan tenaga kerja mahir.

Keempat pula, meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan dengan mengurangkan pembaziran makanan, penggunaan dan pengeluaran mampan, pemuliharaan biodiversiti, keselamatan dan nutrisi makanan.

“Kelima menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dan kerangka institusi yang kukuh- meliputi penambahbaikan dalam aspek guna tanah, kewangan, infrastruktur, digital, tadbir urus dalam sektor agromakanan,” katanya.

Strategi dan pelan tindakan yang dirangka akan dilaksanakan oleh pihaknya dalam tempoh 10 tahun akan datang sama ada jangka pendek (1-2 tahun), jangka sederhana (3-5 tahun) atau jangka panjang (6-10 tahun).

Terdahulu, DAN 2.0 merupakan dasar agromakanan baharu bagi menggantikan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 yang telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Enam objektif utama pelaksanaan DAN 2.0 adalah bagi meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi pengeluar makanan.

Selain itu, ia juga mempertingkatkan output pengeluaran serta kualiti penuaian melalui peningkatan produktiviti.

“Mewujudkan rantaian nilai yang lebih tangkas dan berdaya tahan dengan aktiviti nilai tambah yang tinggi, menambah baik sekuriti dan nutrisi makanan rakyat.

“Ia juga memacu pertumbuhan ekonomi, sosial dan inklusiviti selain menggalakkan amalan penggunaan dan pengeluaran makanan secara mampan,” kata kenyataan yang sama.

Penggubalan DAN 2.0 adalah perlu dengan mengambil kira isu sekuriti makanan yang meliputi daya saing dan kemampanan berlandaskan prinsip dan teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) termasuk Rancangan Malaysia (RMKe-12 dan RMKe-13) bagi menjayakan transformasi dan pemodenan sektor agromakanan.

DAN 2.0 dirangka dengan mengambil kira situasi semasa sektor agromakanan negara, pencapaian sebelum ini serta cabaran dan hala tuju sektor dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Cabaran-cabaran seperti sumber air dan tanah, rantaian nilai, tenaga kerja, aplikasi teknologi, perubahan iklim, tadbir urus, infrastruktur dan pelaburan serta peningkatan permintaan, perubahan diet dan keselamatan makanan akan ditangani melalui pelbagai strategi dan pelan tindakan yang digariskan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast