Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) bertanyakan sesuatu dengan pesara tentera, Sohaimi Omar, 64 (dua kanan) pada Program Ziarah Kasih di Londang, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yakin parti itu dapat mempertahankan kelima-lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kelima-lima kerusi DUN tersebut adalah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tinjauan dalam kalangan rakyat tempatan menunjukkan respon yang positif terhadap parti.

“Setakat apa yang saya dapat tinjau, amat positif. Boleh dikatakan kawasan Masjid Tanah ini merupakan kubu kuat kepada BN dan kelima-lima DUN dalam PRU (Pilihan Raya Umum Ke-14) dulu kita menang.

“Parlimen pun kita menang tapi Ahli Parlimen (Masjid Tanah) itu sudah melompat ke parti lain. Ini menunjukkan dalam keadaan tsunami politik pada ketika itu (PRU) kita masih menang semua DUN di sini.

“Insya-Allah dengan keadaan hari ini yang bertambah baik, (ada) tanda-tanda kita dapat pertahankan kelima kerusi DUN khususnya di kawasan Masjid Tanah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Beringin di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (dua kanan) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) bertanyakan sesuatu dengan bekas Pegawai JASA, Abdul Malek Siron, 63, pada Program Ziarah Kasih di Pengakalan Balak, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra dan bersarapan bersama penduduk setempat di Abah Shan Station.

Ketika ditanya mengenai kempen secara atas talian, Najib menyifatkan mekanisme tersebut sebagai perkara baharu yang belum pernah dipraktikkan ketika kempen pilihan raya sebelum ini.

“Ini adalah perkara baharu bagi kita, belum pernah (lakukan). Kita kena buat adjustment pada pendekatan kita, saya percaya ahli parti boleh melakukan sedemikian dan ini adalah untuk menjaga keselamatan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut mengulas berkenaan gabungan Muafakat Nasional (MN) pada PRN Melaka kali ini yang dijangka akan diputuskan oleh parti dalam masa terdekat.

“Itu semua seperti Datuk Seri Rauf kata akan diputuskan dalam beberapa hari akan datang, saya ada pendapat peribadi saya tetapi biarlah parti putuskan perkara ini kerana kita mahu Melaka sebagai template bagi PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast