Pengasas dan Pengerusi Persatuan Shasta Selangor, Kotson Wilson atau Ram G.

KUALA LUMPUR – Sindiket ceti haram ‘ah long’ semakin rakus mencari mangsa ketika pandemik Covid-19.

Malah keadaan semakin sukar apabila ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka yang terjejas beralih kepada alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Bantuan Shasta Selangor, Kotson Wilson, mereka yang mendapatkan pinjaman daripada ah long akan terbeban dengan jumlah pinjaman yang berkali ganda daripada jumlah pokok.

Katanya, pihaknya yang menyediakan khidmat bantuan kepada peminjam ah long mendapati bukan sahaja golongan B40 terjebak dengan pinjaman ah long namun golongan atasan turut terbabit. 

Pengasas dan Pengerusi Persatuan Shasta Selangor, Ram G

“Ada juga peminjam datang dari latar belakang berada, ada yang bekerja sebagai doktor, peguam, ahli korporat, penjawat awam dan sebagainya,” katanya yang dikenali Ram G kepada MalaysiaGazette.

Menurut Ram G, pihaknya mendapati ah long menggunakan media sosial untuk mempamerkan iklan pinjaman wang yang seakan-akan iklan bank semasa pandemik Covid-19 dan para peminjam diminta mengisi pelbagai maklumat seperti nombor akaun bank dan salinan kad pengenalan.

Tambah beliau, peminjam akhirnya akan terperangkap kerana ah long yang mengeluarkan pinjaman akan meminta peminjam memulangkan kembali wang itu dengan syarat-syarat tertentu.

“Apabila ada yang menyedari telah terperangkap akan cuba memulangkan kembali wang itu namun dikenakan pula bunga yang tidak masuk akal.

“Seandainya peminjam gagal memulangkan wang itu berserta bunga, maka faedah harian akan dikenakan kepadanya,” ujarnya.

Tambah Ram G, jika peminjam tidak mahu bayar atau enggan menerima syarat yang dikenakan itu, maka muka beserta salinan kad pengenalan peminjamkan akan disebarkan dalam laman sosial kononnya mereka telah menipu dan enggan membayar balik pinjaman.

Jika ada peminjam tidak tidak mampu melakukan pembayaran semula, ah long akan memperkenal ceti haram untuk meminjam lebih wang bagi membayar bunga pinjaman, malah ada peminjam melakukan pinjaman lebih daripada 40 ah long.

Sementara itu, Ram G memberitahu, beliau berhadapan dengan pelbagai kes terutama yang membabitkan masyarakat India di negara ini.

“Saya sememangnya mempunyai lesen peminjam wang dan selalu didekati oleh golongan ini yang juga menceritakan pengalaman ngeri mereka berdepan dengan ceti haram malah ada juga peminjam berlesen melakukan ugutan sedemikian.

“Apa yang kita buat d isini ialah cuba sedaya upaya bercakap dengan pihak berkaitan, ada yang hanya pinjam antara RM300 hingga RM600 sahaja tapi berdepan dengan hutang sehingga berpuluh-puluh ribu. Bila susah buat pinjaman kemudian terperangkap dengan taktik kotor ah long ini.

Ram G menunjukkan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap ceti haram.

Tambahnya, walaupun sering menerima ugutan daripada ceti haram namun beliau tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis serta mendedahkan perkara yang salah di sisi undang-undang berhubung peminjam yang ditindas ah long.

Orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat Pertubuhan Bantuan Shasta Selangor boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03-77325502, 0189889415 atau 0166994141.-MalaysiaGazette