KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) seperti tular di media sosial.
Beliau mengakui kesilapan yang dilakukannya ketika melakukan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda di Klang sehingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.
“Saya suarakan perkara ini bukanlah untuk menjadi hero tetapi disebabkan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu. Saya sedar telah bertindak kasar.
“Oleh itu, saya memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya yang turut disiarkan di Facebook hari ini.
Sebelum itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mendesak Ganabatirau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat dilaporkan berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan wakil rakyat itu yang disifatkan tidak profesional apatah lagi video tular berkenaan dikatakan dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan.
Menurutnya, Ganabatirau sewajarnya menggunakan saluran betul dalam menyuarakan pandangan ataupun masalah dan bukan membuat serangan terbuka di lapangan serta media sosial.
Perkara itu turut mendapat reaksi beberapa penganalisis politik yang menyifatkan tindakan Ganabatirau memarahi kakitangan JPS sebagai keterlaluan dan melampau.
Mereka turut merasakan Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu perlu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) serta perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam pada itu Ganabatirau pada sidang media yang sama menegaskan, beliau hanya menjalankan tugas selepas menerima aduan daripada penduduk.
“Saya dapati kawasan perumahan dinaiki air hingga ke paras pinggang minggu lalu ekoran masalah perparitan. Apa yang menimbulkan kerisauan ialah hujan lebat diramal berlaku di negeri ini selama tiga hari bermula 28 Oktober ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: