Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah keluar dari mahkamah selepas hadir prosiding permohonan mendapatkan passport sementara ke luar negara di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memulangkan sementara pasport antarabangsa milik peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang hendak ke New York, Amerika Syarikat (AS).

Muhammad Shafee memohon untuk diberi pelepasan ke Amerika Syarikat kerana hendak bertemu dengan anak lelakinya untuk menyelesaikan urusan pengajiannya di The New School Parson, New York pada bulan ini.

Tarikh yang di mohon oleh Muhammad Shafee antara 27 Oktober sehingga 30 November depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membenarkan permohonan itu yang juga tidak mendapat bantahan dari pasukan pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Nithia memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

“Pemohon dibenarkan permohonan dan pasport dikembalikan hari ini (26 Oktober) dan perlu dipulangkan sebelum atau pada 3 Disember ini,” katanya pada prosiding sebentar tadi.

Sebelum ini, Muhammad Shafee menyerahkan pasportnya kepada mahkamah yang menetapkan sebagai antara syarat ikat jamin kes perbicaraan penggubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta yang sedang dihadapi beliau.

Muhammad Shafee didakwa telah menerima dana tersebut daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah keluar dari mahkamah selepas hadir prosiding permohonan mendapatkan passport sementara ke luar negara di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

Beliau didakwa menerima cek berjumlah RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Muhammad Shafee diwakili peguam Wee Yeong Kang.

Perbicaraan kes Muhammad Shafee yang berbaki tiga saksi pendakwaan untuk memberi keterangan sepatutnya bersambung pada 14 Oktober lalu.

Sebelum ini, mahkamah juga telah membenarkan permohonan pemulangan pasport sementara kepada beberapa tertuduh yang sedang menghadapi perbicaraaan, antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette