Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bercakap kepada media mengenai masalah laporan polis yang dibuat oleh orang awam lambat mendapat tindakan pihak berkuasa di Alam Damai, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat sebuah akaun Twitter yang aktif berkongsi mengenai dakwaan salah laku membabitkan pihak berkuasa sejak akhir-akhir ini.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihak polis juga perlu menyiasat sumber maklumat bagi mengesahkan kesahihan dakwaan-dakwaan tersebut.

“Bagi saya polis perlu menyiasat sumber maklumat tersebut untuk mengesahkan sama ada ia benar atau pun palsu dan orang-orang yang disebut dalam maklumat tersebut juga boleh mengambil tindakan saman sivil sekiranya maklumat itu palsu kerana ia boleh merosakkan nama baik mereka. Itu tindakan yang boleh diambil.

“Setiap maklumat yang diuar-uarkan sama ada oleh orang awam atau pun diberi terus kepada pihak polis, ia perlu disiasat untuk verifikasi bagi menentukan sama ada maklumat ini betul atau palsu.

“Jadi kalau ia betul maka bukti-bukti perlu dikumpulkan dan untuk menentukan sama ada wujud jenayah ia berlaku atau tidak, kalau wujud jenayah itu maka orang-orang yang terlibat dengan jenayah tersebut harus diambil tindakan tetapi setelah verifikasi bahawa maklumat tadi itu palsu, maka pihak polis perlu mengambil tindakan terhadap orang yang telah beri maklumat itu tadi,” katanya.

Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCCC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden MCCC, Ahmad Nazri Ibrahim.

Mengulas lanjut, Musa berkata, sekiranya dakwaan yang dibuat oleh akaun Twitter berkenaan palsu maka secara tidak langsung ia telah mencalarkan imej pihak berkuasa.

“Dalam hal ini, polis kena siasat (dakwaan), tak boleh respon terus sebab nak lihat sama ada benar atau tidak, itu sebab perlu kenal pasti siapa yang tulis.

“Saya rasa pihak polis tahu apa yang perlu dibuat kerana ini melibatkan pegawai dan anggota mereka termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana yang disebut bukan sahaja polis, ia termasuk SPRM,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial berkenaan sebuah akaun Twitter dikenali sebagai Edisi Siasat yang aktif mendedahkan pelbagai maklumat dan dakwaan salah laku berkaitan rasuah dan penyelewengan pihak berkuasa di negara ini.

Berdasarkan tinjauan, akaun berkenaan mula aktif sejak September lalu dan kini mempunyai kira-kira 67,000 pengikut. – MalaysiaGazette