Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) tidak akan meletakkan sebarang calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan, kata pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merurut beliau, langkah itu diambil kerana PRN Melaka diadakan disebabkan permainan politik sesetengah pemimpin.

“Saya katakan Pejuang tidak akan ambil bahagian dalam PRN Melaka.

“Mereka tarik sokongan kepada kerajaan dengan harapan mereka akan menggantikan kerajaan dan mereka anggap mereka parti yang besar yang mempunyai majoriti yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

“PRN ini tidak patut diadakan, kejatuhan kerajan negeri Melaka tidak patut diadakan,” katanya dalam sidang media di di Yayasan Al Bukhary, hari ini.

Hadir hari ini adalah semua barisan kepimpinan Pejuang iaitu presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; timbalan presidennya, Datuk Marzuki Yahya dan setiausaha agungnya, Datuk Amirudin Hamzah.

Keputusan itu menurut Dr. Mahathir dibuat dalam mesyuarat Pejuang yang diadakan hari ini di Yayasan Al Bukhary.

Beliau berkata, sekarang bukan masa yang terbaik untuk negara mengadakan PRN berdasarkan kepada apa yang berlaku selepas PRN Sabah.

“Kita sedar bahawa pandemik Covid-19 dan kita tahu pengalaman kita bila diadakan PRN di Sabah, selepas itu bilangan kes meningkat sehingga 25,000.

“Kalau kita adakan PRN saya khuatir akan ada satu lagi gelombang yang besar berpunca daripada PRN di Melaka,” katanya lagi.

Dr. Mahathir turut berkata, situasi di Melaka tidak akan berubah memandangkan kepada keadaan politik yang tidak stabil.

Jelasnya, sesiapa sahaja boleh menjatuhkan kerajaan yang akan dibina kelak akan dapat ditumbangkan kerana tamakkan kuasa.

“Kita percaya walau sesiapa sahaja yang dipilih untuk mendirikan kerajaan negeri keadaannya sama sahaja.

“Tidak akan ada sebarang perubahan kerana mereka ini yang akan bertanding bukan memikirkan tentang apa yang mereka boleh buat untuk memajukan Melaka tetapi sebaliknya untuk mereka dapat jawatan dan gaji yang baik.

“Kita dalam Pejuang tidak ingin terlibat dengan kegiatan seperti ini kerana kita lihat politik negara sudah jadi cukup kucar kacir,” jelasnya.

Ditanya sama ada Pejuang akan membantu mana-mana parti untuk berkempen di PRN Melaka, Dr. Mahathir berkata, Pejuang menolak untuk berbuat demikian sepanjang kempen PRN.

“Pejuang tidak akan bantu mana-mana pihak dalam PRN, kita berkecuali sama sekali. Ahli Pejuang jtidak pergi ke Melaka dan berucap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette