Nik Saiful menunjukkan surau Kedai Melor berusia lebih 20 tahun yang akan dirobohkan bagi kerja pembesaran jalan.

KOTA BHARU – Peniaga di Kompleks Niaga Melor di Kedai Melor, dekat sini dan penduduk sekitar akur keputusan kerajaan Pas Kelantan merobohkan surau di situ untuk kerja pembesaran jalan.

Bagaimanapun, mereka minta kerajaan negeri membina surau baharu sebagai ganti bagi membolehkan kira-kira 150 peniaga dan lebih 200 penduduk sekitar Kompleks Niaga Melor itu solat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Khas, Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM), Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, surau itu dibina lebih 20 tahun lalu hasil sumbangan orang ramai.

Katanya, bangunan surau berkeluasan 1,500 kaki persegi itu menampung keperluan untuk 150 peniaga di Pasar Melor dan 200 penduduk sekitar.

“Bangunan surau ini telah dinaiktaraf Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa awal tahun lalu melibatkan struktur ruang solat, menyediakan bekalan air, tempat wuduk dan enam tandas yang turut menjadi satu-satunya tandas bagi kegunaan peniaga di Pasar Melor.

“Bagaimanapun, minggu lalu, jawatankuasa surau Kedai Melor dimaklumkan mengenai pembesaran jalan raya berhampiran yang akan melibatkan kerja merobohkan surau ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Nik Saiful Adli Burhan

Nik Saiful berkata, hasil carian PKKM mendapati surau itu berada atas tanah milik kerajaan negeri iaitu Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan difahamkan pampasan nilai bangunan itu dibayar kepada tuan tanah.

Namun, katanya, peniaga dan penduduk sekitar Kedai Melor tiada tempat untuk bersolat serta kehilangan tandas yang mereka gunakan selama ini, yang turut digunakan pengunjung pasar.

“Peniaga dan penduduk amat mengharapkan selepas dirobohkan, kerajaan negeri dapat membina surau baru berdekatan dengan Pasar Melor bagi menggantikan surau ini.

“PKKM pada bila-bila masa sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan YAKIN untuk berbincang mengenai pembinaan surau baru dan berharap ianya disegerakan.

“Bagi kami, wang pampasan yang diperolehi kerana perobohan surau sewajarnya digunakan untuk pembinaan semula surau baharu,” katanya. – MalaysiaGazette